KUALA LUMPUR, 5 Mac - Polis menahan seorang lelaki dipercayai kurang siuman selepas mencederakan seorang jururawat di Jalan Pahang, di sini dalam kejadian pada Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman berkata dalam kejadian kira-kira 5.10 petang, wanita yang bekerja sebagai jururawat di sebuah hospital kerajaan itu dalam perjalanan ke perhentian bas sebelum dipukul di belakang kepala menggunakan objek keras oleh suspek sebelum melarikan diri.
“Ekoran kejadian itu, mangsa yang cedera di kepala mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur dan menerima empat jahitan,” katanya dalam kenyataan malam Selasa.
Sulizmie Affendy berkata bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan suspek pada 10.11 malam Sabtu lepas di sekitar lokasi kejadian untuk siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata hasil pemeriksaan lanjut suspek didapati kurang siuman dan tiada sebarang dokumen pengenalan diri selain gagal mengemukakan butiran dirinya secara lisan.
Hasil pemeriksaan polis turut menemukan sebilah pisau pemotong kertas dalam milikan suspek dan lelaki itu kemudian dihantar ke Wad Psikiatri Hospital Kuala Lumpur untuk pemantauan lanjut.
Terdahulu, tular gambar seorang wanita yang bekerja sebagai jururawat cedera selepas dipukul seorang lelaki ketika mangsa dalam perjalanan ke tempat kerja selain klip video yang memaparkan seorang lelaki disyaki suspek kes itu. - BERNAMA