fb fb fb fb fb

Sindiket penipuan permainan video tumpas, lima warga China ditahan

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, ACP M Kumarasan (tengah) pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri, di sini pada Selasa / Foto Bernama

ISKANDAR PUTERI, 5 Mac – Polis menahan lima lelaki warga China yang dipercayai menjalankan operasi pusat panggilan permainan video dalam talian dan terlibat dalam kegiatan penipuan pada 27 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Penolong Pesuruhjaya Polis, ACP M. Kumarasan berkata serbuan dilakukan pada pukul 4.30 petang di sebuah apartmen di Tanjung Kupang, Gelang Patah, di sini, yang dijadikan sebagai pusat operasi sindiket bagi menipu mangsa.

Menurutnya, suspek berusia 24 hingga 36 tahun itu dipercayai aktif sejak Disember tahun lalu dengan meminta pelanggan membuat pendaftaran melalui aplikasi Telegram serta mengenakan bayaran bagi tujuh permainan yang ditawarkan.

“Semakan mendapati kesemua suspek masuk ke negara ini pada Disember tahun lalu, keluar sebelum perayaan Tahun Baharu Cina, dan kembali pada 11 Februari lalu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri, di sini pada Selasa.

Dalam serbuan itu, polis merampas lima komputer riba, sembilan telefon bimbit dan kad akses yang dianggarkan bernilai RM20,000.

Kesemua suspek direman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN