BAYAN LEPAS, 5 Mac – Polis mengesahkan penemuan sebuah beg mengandungi objek disyaki peluru di tempat pembuangan sampah sebuah pangsapuri di Bukit Jambul, di sini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Penolong Pesuruhjaya Polis, ACP Abdul Rozak Muhammad berkata pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan itu kira-kira pukul 1.40 tengah hari pada Selasa hasil laporan orang awam.
"Pemeriksaan mendapati beg berkenaan mengandungi sejumlah peluru hidup dan kosong jenis Kaliber 22 yang ditinggalkan di lokasi berkenaan oleh individu tidak dikenali.
"Polis memandang serius kes ini kerana ia boleh membahayakan keselamatan orang awam," katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, siasatan sedang dijalankan dari pelbagai sudut dan kes disiasat di bawah Seksyen 8(A) Akta Senjata 1960.
Polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes tersebut agar tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nurul Aishah Izati Zaidi di talian 011-2154 4465.