fb fb fb fb fb

Polis tahan lelaki disyaki curi kabel

Foto hiasan

KUANTAN, 5 Ogos -Seorang lelaki yang mempunyai 44 rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah ditahan di persimpangan lampu isyarat Jalan Tengku Ismail, Temerloh selepas bergelut dengan polis pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Mazlan Hassan berkata lelaki berumur 35 tahun itu telah bertindak melarikan diri dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda semasa pegawai polis memperkenalkan diri di hadapan sebuah kedai di Jalan Tengku Ismail kira-kira 10.30 pagi.

"Lelaki terbabit telah memandu secara melulu serta melanggar tebing jalan dan terbabas sebelum berhenti di persimpangan lampu isyarat berkenaan.

"Berlaku pergelutan antara polis dengan suspek sebelum lelaki positif dadah itu akhirnya berjaya ditahan,” katanya dalam kenyataan.

Mazlan berkata polis turut merampas pelbagai peralatan curi kabel antaranya tukul besi dan pengunci besi pembuka manhole, selain sejumlah pil yaba.

Hasil pemeriksaan lanjut juga, katanya suspek mengaku terlibat dalam kes curi kabel komunikasi di Kuala Lumpur, Selangor dan Pahang pada Februari lepas.

TETITIA YUSOFF