KOTA BHARU, 5 Ogos – Seorang guru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang murid lelaki berusia 11 tahun dalam dua kejadian berasingan pada tahun lalu.
Tertuduh, Syahril Faiza Zakarian, 51, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abdullah.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Syahril didakwa melakukan perbuatan itu dalam sebuah kereta ketika dalam perjalanan ke sebuah pasar raya di Kota Bharu pada pukul 2 petang, Mac tahun lalu.
Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, dia didakwa melakukan perbuatan sama terhadap mangsa yang sama di dalam tandas sebuah pusat peranginan di Pantai Cahaya Bulan (PCB) pada petang Mei tahun lalu.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, dibaca bersama Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad, yang tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan kes berkenaan serius dan mangsa mempunyai hubungan amanah dengan tertuduh.
Peguam tertuduh, Mohd Saifullah Che Mat, bagaimanapun memohon jaminan dengan alasan anak guamnya telah dipindahkan ke pejabat pendidikan daerah, belum berkahwin, tinggal bersama ibu bapa serta mengalami masalah jantung.
Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM30,000 bagi semua pertuduhan, selain mengenakan syarat larangan mengganggu saksi. Sebutan semula kes ditetapkan pada 10 September 2025.
Tertuduh kemudian membayar jaminan yang ditetapkan.