fb fb fb fb fb

Nahas rombongan tadika: Pemandu bas dihukum penjara tujuh hari, denda RM8,000

Gambar hiasan

PETALING JAYA, 5 Ogos - Seorang pemandu bas yang membawa rombongan tadika terdiri daripada lima guru dan 30 kanak-kanak, hari ini dihukum penjara tujuh hari serta denda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku memandu secara berbahaya.

Majistret Nur Natasya Mohtarudin memerintahkan Mohamad Hamir Masruddin, 44, menjalani hukuman itu bermula hari ini dan sekiranya gagal membayar denda, tertuduh berdepan penjara tujuh bulan.

Mohamad Hamir membayar denda itu.

Selain itu, dia hilang kelayakan memegang atau memiliki lesen selama lima tahun.

Mohamad Hamir didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Persiaran Universiti 1, Universiti Putra Malaysia pada 12.18 tengah hari 2 Ogos lepas mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun dan denda RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama lima tahun.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurain Syafiqeen Mohd Rozi memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira fakta kes semasa kejadian.

"Tertuduh telah memandu dalam keadaan yang cuai dan berbahaya selain tiga kanak-kanak serta seorang guru cedera.

"Pihak pendakwaan juga memohon mahkamah mengambil kira faktor kepentingan awam melebihi kepentingan peribadi," katanya.

Mohamad Hamir, yang tidak diwakili peguam, bagaimanapun merayu hukuman ringan atas alasan dia hanya bekerja sambilan serta perlu menanggung keluarga dan ibunya yang sakit di kampung. - BERNAMA

GRACE AISYAH KEDAYAN