SEREMBAN, 5 Ogos – Seorang broker tanah direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes mengemukakan dokumen butir matan palsu berjumlah RM3.8 juta.
Perintah reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan dikeluarkan oleh Majistret Saiful Sayoti selepas membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Jenayah 2, di sini, hari ini.
Lelaki berusia lingkungan 40-an didakwa melakukan perbuatan itu bagi mendapatkan wang hasil jualan tanah.
Dia ditahan kira-kira jam 5.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Negeri Sembilan.
Siasatan awal mendapati suspek dipercayai menggunakan dokumen mengandungi butiran palsu membabitkan geran tanah di Mukim Lenggeng, Daerah Seremban, dalam satu transaksi sekitar September 2022.
Sementara itu, Pengarah SPRM negeri Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.