PETALING JAYA, 5 Ogos - Pasukan pembelaan ibu Zayn Rayyan Abdul Matin yang berdepan pertuduhan mengabaikan sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadap kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu, menutup kesnya hari ini selepas memanggil lima saksi bagi memberi keterangan.
Peguam Haresh Mahadevan yang mewakili Ismanira Abdul Manaf, 30, memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pembelaan menutup kes selepas doktor pakar psikologi kanak-kanak Dr Noor Aishah Rosli, 49, selesai memberi keterangan hari ini.
"Pihak pembelaan tidak mempunyai saksi lain dan pihak kami (pembelaan) menutup kes hari ini," kata peguam itu.
Hakim Dr Syahliza Warnoh kemudian menetapkan 8 September untuk hujahan bertulis daripada kedua-dua pihak, manakala 22 September bagi hujahan balas sebelum mahkamah membuat keputusan pada akhir kes pembelaan 31 Oktober ini sama ada untuk mensabitkan atau membebaskan Ismanira daripada pertuduhan berkenaan.
Pada 21 Julai lepas, Ismanira, 30, diperintahkan membela diri atas pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh pada akhir kes pendakwaan. Ismanira memberi keterangan membela diri selama tiga hari bermula 21 Julai lepas.
Terdahulu, Dr Noor Aishah Rosli berkata mesej perbualan WhatsApp yang menyatakan 'haishhh stress nak mati', 'budak ni elok je takde pun aku pukul pun sebenarnya aku tepuk punggung masing2 je tapi aku ckp perkataan belasah sbb aku tgah geram dan marah sgt2', merupakan ayat-ayat normal yang dialami oleh seorang ibu yang menjaga anak autistik.
"Kita tidak boleh dari sudut psikologi ia sebagai satu niat untuk melakukan jenayah, kalau kita tanya sesiapa pun ada sahaja mesej kita kepada pasangan kita menggunakan ayat kasar, tetapi niat itu tiada.
"Jadi di sini adalah luahan (Ismanira) yang sayangkan anak itu dan sahaja nak lepas dalam teks (mesej WhatsApp) pada suami yang sedang bekerja ketika itu," kata saksi pembelaan kelima itu semasa pemeriksaan utama oleh peguam Haresh.
Dr Noor Aishah berkata mesej dihantar Ismanira kepada Zaim Ikhwan semata-mata luahan emosi, gurauan, tidak serius serta tidak menunjukkan niat jahat.
"Saya dapati ini adalah perbualan menunjukkan perhubungan suami isteri. Walaupun kita lihat perkataan itu mungkin agak kasar tetapi ia hanyalah bersifat surface … atas permukaan sahaja. Hanya cakap-cakap kosong yang tidak serius sekadar untuk meluahkan emosi,” katanya.
Prosiding hari ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi, turut mewakili Ismanira peguam Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh.
Pada 21 Julai lepas, Hakim Mahkamah Sesyen Syahliza Warnoh memerintahkan Ismanira membela diri selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap wanita itu, manakala suaminya Zaim Ikhwan Zahari, 30, dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan sama.
Mereka didakwa mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa di sekitar kawasan Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai sehingga kawasan sungai berdekatan antara 12 tengah hari 5 Disember hingga 9.55 malam 6 Dis 2023.
Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - BERNAMA