fb fb fb fb fb

Polis tahan empat lelaki terlibat kes pecah rumah, samun

Foto RTM

KLUANG, 26 April - Empat lelaki diberkas Polis dalam serbuan di sebuah rumah di Sri Alam, Johor Bahru, pukul 3 pagi Isnin lalu, selepas disyaki terlibat dalam kegiatan samun menggunakan pedang dan pisau melapah daging di sebuah kedai serbaneka di Taman Intan, Kluang pada 19 April lalu.

Ketua Polis Daerah Kluang, ACP Bahrin Mohd Noh menerusi kenyataannya berkata kesemua yang ditahan berumur 25 hingga 42 tahun dengan tiga daripadanya adalah bekas banduan yang baru dibebaskan daripada tahanan penjara.  

Keempat-empat suspek turut dipercayai terlibat dalam kejadian samun sebuah kedai serbaneka di Pontian, 14 April lalu.

Polis merampas pelbagai jenis rokok, telefon bimbit, sebuah kenderaan, pakaian digunakan untuk melakukan jenayah tersebut termasuk sebilah pedang dan pisau.

Tiga suspek mempunyai rekod berkaitan jenayah dan dadah serta masing-masing positif dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD