fb fb fb fb fb

KPDN Pulau Pinang rampas 8,000 liter diesel bersubsidi

Foto Hiasan

BUKIT MERTAJAM, 26 April - Sebanyak 8,000 liter minyak diesel bersubsidi yang disyaki diseleweng telah dirampas menerusi Ops Tiris 3.0 di sebuah stesyen minyak, di sini semalam.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang S.Jegan berkata, susulan maklumat orang awam, sepasukan pegawai penguat kuasa KPDN menjalankan pemeriksaan di sebuah stesen minyak di sini dan menjumpai sebuah lori kanvas berwarna biru.

"Pemeriksaan lanjut mendapati bahagian belakang lori enam tan itu telah diubah suai dengan terdapat satu unit tangki besi berkapasiti 10,000 liter dan satu set motor pam berserta hos paip yang dipercayai digunakan untuk kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi.

"Terdapat sebanyak 8,000 liter diesel bernilai RM17,200 dalam tangki besi itu dan kami merampas kesemuanya termasuk lori dan peralatan digunakan yang kesemuanya berjumlah RM55,200 untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata semasa pemeriksaan tiada pemandu lori atau sesiapa berhampiran kenderaan itu dan pihaknya sedang mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat dalam kegiatan serta rantaian penyelewengan diesel tersebut, termasuklah sumber diperolehi dan edaran.

Kes disiasat bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

TETITIA YUSOFF