fb fb fb fb fb

Komen jelik nahas helikopter Lumut: Lelaki didenda RM23,000, mohon maaf

Saifuddin mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Taiping

TAIPING, 26 April - Seorang lelaki didenda RM23,000 di Mahkamah Sesyen Taiping kerana muat naik hantaran komen jelik berhubung nahas dua helikopter semasa menjalani latihan raptai di ruang udara Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut yang mengorbankan 10 mangsa.

Hakim Nabisha Ibrahim menjatuhi hukuman itu ke atas Saifuddin Shafik, 36 tahun, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan dan mengarahkan dia dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda tersebut, manakala telefon dipulangkan kepada pemilik selepas rayuan.

Mengikut pertuduhan, peniaga dalam talian itu didakwa melalui perkhidmatan aplikasi Twitter dengan menggunakan nama profil 'Saifuddin Shafik @saishafik' secara sedar membuat dan memulakan penghantaran dengan menggunakan perkhidmatan komunikasi yang jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada kira-kira pukul 1.15 tengah hari pada 23 April lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a)(ii) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dan boleh dihukum bawah Seksyen 233(3) Akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Saifuddin kemudian membuat permohonan maaf kepada ahli keluarga mangsa pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan orang awam secara terbuka di dalam mahkamah.

TETITIA YUSOFF