ISKANDAR PUTERI, 8 Mac- Polis menahan dua lelaki dan dua wanita di Selangor pada Satu Mac lalu, dipercayai terlibat kes melarikan seorang lelaki warga Sri Lanka di Gelang Patah, Iskandar Puteri, Johor, pada 28 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) M.Kumarasan berkata, suspek berumur 18 hingga 37 tahun, ditahan di kawasan Kuala Selangor dan Bestari Jaya.
Siasatan awal mendapati, warga Sri Lanka berumur 26 tahun itu pernah bercinta dengan salah seorang suspek wanita, sebelum bertindak meninggalkan wanita berkenaan.
Tindakan tersebut menyebabkan kesemua suspek terlibat mengesan dan melarikan warga asing terbabit.
Semakan mendapati salah seorang suspek mempunyai rekod jenayah.
Turut dirampas, dua buah kereta dan empat buah telefon bimbit.
Dua suspek lelaki telah dituduh di Mahkamah Majistret Johor Bahru, mengikut Seksyen 365 dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan, manakala dua suspek wanita dibebaskan dengan bon jamin 118 Kanun Prosedur Jenayah.
Kes akan disebut semula pada 27 Mac depan.