JOHOR BAHRU, 8 Mac- Seorang lelaki berumur 63 tahun maut, selepas terlibat insiden berbalas tembakan, di Jalan Persiaran Bumi Hijau, Taman Molek, Johor Bahru, pada pukul 3.10 pagi tadi.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, insiden berlaku selepas sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Khas D9, mengekori motosikal dinaiki suspek, kerana berada dalam keadaan mencurigakan.
Pasukan itu kemudian berjaya memberhentikan suspek di kawasan berhampiran, untuk membuat pemeriksaan.
Suspek kemudian telah melepaskan beberapa das tembakan ke arah pihak polis memaksa pasukan terbabit, membalas tembakan bagi mempertahankan diri.
Tembakan polis terkena pada suspek dan warga emas itu mati di lokasi kejadian.
Pemeriksaan lanjut di lokasi menjumpai satu pucuk pistol berhampiran suspek, selain empat butir peluru dan dua kelongsong peluru.
Semakan mendapati suspek mempunyai 14 rekod jenayah dan dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen Tiga Akta Senjata Api ( Penalti Lebih Berat) 1971.