KUALA LUMPUR, 15 Februari- Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menumpaskan sindiket pengedaran dadah rentas sempadan membabitkan nilai rampasan RM23.67 juta menerusi satu operasi di Lembah Klang.
Pengarahnya, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, tiga lelaki warga tempatan berusia 41 hingga 58 tahun turut ditahan dalam serbuan ke atas sebuah rumah teres di Bandar Sri Damansara pada 11 Februari lalu.
Ketiga-tiga suspek menerima bayaran antara RM10,000 hingga RM50,000 sebulan daripada ketua sindiket bagi melaksanakan kerja penyimpanan dan pengedaran dadah untuk pasaran dalam dan luar negara.
"Bagi syabu anggaran berat adalah 287.27 kilogram manakala bagi ketamin anggaran berat adalah 289.45 kilogram.
"Jumlah dadah yang dirampas, dianggarkan boleh digunakan oleh seramai 2.4 juta orang penagih dadah," katanya pada satu sidang media di Bukit Aman pagi tadi.
Polis turut menyita empat buah kenderaan, wang tunai dan seutas jam tangan dengan nilai keseluruhan sitaan berjumlah RM140,000.
Sindiket itu dipercayai aktif sejak awal Disember 2023 dengan menjadikan rumah teres yang disewa sebagai tempat penyimpanan dadah sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan serta dieksport ke pasaran Indonesia.
Kesemua suspek direman tujuh hari mulai 12 Februari bagi membantu siasatan kes bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Aakta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.