KUANTAN, 15 Februari- Seorang lelaki berusia 53 tahun direman selama tujuh hari bermula hari ini selepas ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang peniaga wanita ditepi sungai Kuantan, Pahang.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Nor Izzati Zakaria bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan lanjut berhubung kes yang berlaku pada 12 Februari lalu.
Terdahulu dalam satu kenyataan media Ketua Polis Daerah Kuantan, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Wan Mohd Zahari Wan Busu memaklumkan, suspek ditangkap pada jam 5.30 pagi tadi di sebuah rumah di kawasan perumahan Wakaf Tembesu, Gong Badak, Kuala Terengganu.
Operasi tangkapan dijalankan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Pahang dan Terengganu.
Turut dirampas bersama suspek ialah sebentuk cincin, wang tunai, pakaian dan beberapa dokumen bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Artikel berkaitan: Duka di Kuantan: Peniaga wanita dibunuh kejam, Sultan Pahang zahir simpati