KUALA LANGAT, 15 Februari- Sebuah kilang memproses buangan elektronik (e-waste) di Teluk Panglima Garang diserbu pihak berkuasa selepas dikesan menjalankan aktiviti pemprosesan kelongsong peluru secara haram.
Serbuan Op Hazard itu dilaksanakan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Pasukan Gerakan Udara (PGU).
Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi, berkata pihaknya menemui 50 tan guni berisi kelongsong peluru, peluru hidup dan anak peluru yang dipercayai bukan berasal dari dalam negara.
“Kelongsong peluru diperbuat daripada tembaga, manakala anak peluru pula daripada timah. Bahan ini dibakar dan diasingkan menjadi jongkong untuk diproses semula atau dihantar kepada pihak ketiga. Namun, tujuan sebenar pemprosesan ini masih dalam siasatan,” katanya.
Dalam serbuan serentak di 47 premis seluruh negara, kilang berkenaan didapati beroperasi tanpa lesen sah.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Bahan Berbahaya JAS, Azlan Ahmad, berkata kilang tersebut tidak mempunyai kelulusan untuk aktiviti peleraian dan peleburan bahan berbahaya.
“Kami mendapati proses peleburan peluru dilakukan menggunakan dapur suhu tinggi tanpa alat kawalan pelepasan gas, menyebabkan pencemaran udara. Pihak JAS memandang serius perkara ini dan akan mengambil tindakan tegas,” katanya.
Kes kini disiasat bawah pelbagai peruntukan undang-undang, termasuk Undang-Undang Kecil (UKK) 3 dan UKK 38, Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (Majlis Perbandaran Klang) 2007.
Turut terlibat dalam siasatan adalah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 55(b) Akta Imigresen, serta Seksyen 18, 19, 25, 34a, dan 34b Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.