JOHOR BAHRU, 12 Mei- Polis menjalankan siasatan berhubung dakwaan seorang vokalis kumpulan muzik "skinhead" dipukul sekumpulan individu dipercayai berlaku di sebuah pusat beli-belah di sini pada Sabtu lepas.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Raub Selamat berkata siasatan dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat susulan video tular di media sosial yang memaparkan kejadian itu.
Bagaimanapun setakat ini polis tidak menerima sebarang laporan daripada mana-mana pihak termasuk saksi atau mangsa.
"Polis telah memulakan siasatan sebaik menerima maklumat kejadian (tular) ini pada malam tadi. Justeru, orang ramai diminta untuk tampil membuat laporan bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Terdahulu tular beberapa rakaman video memaparkan kejadian pergaduhan tersebut yang dipercayai dimuat naik di akaun Facebook kumpulan muzik itu.
Hantaran tersebut mendakwa vokalis tersebut diserang dan dipukul sekumpulan lelaki dengan beberapa keping gambar kesan kecederaan turut dikongsikan.