SEREMBAN, 11 Mei – Seramai 10 lelaki berusia antara 17 hingga 31 tahun direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes memukul seorang pelajar Tingkatan Lima di Paroi, awal pagi Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, permohonan reman ke atas kesemua suspek telah diluluskan oleh Mahkamah Majistret Seremban.
“Reman sehingga Rabu ini bertujuan untuk melengkapkan siasatan. Setakat tengah hari ini, tiada tangkapan baharu dibuat namun usaha mengesan suspek lain masih diteruskan.
"Mangsa mengalami kecederaan lebam di bahagian mata kiri dan sakit seluruh badan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau turut meminta bantuan orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes itu agar tampil membantu siasatan.
Pada masa sama menasihatkan supaya tidak berkongsi gambar atau video kejadian di media sosial kerana dikhuatiri boleh mengganggu siasatan serta menjejaskan proses pendakwaan.
Terdahulu, tular di media sosial satu rakaman video dan gambar yang menunjukkan mangsa dalam keadaan berdarah di bahagian muka selepas dipercayai dipukul sekumpulan lelaki.
Menurut siasatan awal, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 3 pagi Jumaat itu dipercayai berpunca daripada salah faham apabila salah seorang suspek menyangka mangsa telah mencederakan adik kandungnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.