BALIK PULAU, 12 Mei - Polis menahan seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri kabel di daerah Barat Daya, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Barat Daya ACP Sazalee Adam dalam kenyataan berkata, suspek berusia 27 tahun itu ditahan ketika memandu kereta dalam keadaan mencurigakan di Jalan Sultan Azlan Shah, Bayan Lepas di sini.
Beliau berkata pemeriksaan kereta yang dipandu lelaki itu menemukan pelbagai peralatan dan barang-barang yang disyaki berkait dengan aktiviti mencuri kabel.
"Antara rampasan termasuk gulungan kabel, beberapa batang keratan kabel, peralatan tukul besi, besi diubah suai, set penyangkuk dan rantai pengangkat serta beberapa telefon bimbit dan kad pengenalan milik individu lain," katanya.
Sazalee berkata hasil siasatan awal mendapati lelaki itu mengaku terlibat dalam kegiatan mencuri kabel bersama tiga lagi individu yang masih bebas.
Beliau berkata suspek turut mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan lima kes narkotik serta tujuh kes jenayah dan kini direman bagi membantu siasatan bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.