fb fb fb fb fb

Polis siasat cubaan culik dua remaja perempuan di Gerik

Polis mengesahkan cubaan menculik dua remaja perempuan dalam dua kejadian berasingan di Kampung Padang Gerik, di Gerik / Foto Hiasan

GERIK, 23 Oktober - Polis mengesahkan cubaan menculik dua remaja perempuan dalam dua kejadian berasingan di Kampung Padang Gerik, di sini.

Timbalan Ketua Polis Perak, DCP Zulkafli Sariaat berkata kejadian pertama berlaku pada 21 Oktober melibatkan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang sedang dalam perjalanan ke sekolah sekitar pukul 6.45 pagi.

Kejadian berlaku di kawasan jalan raya berhadapan tanah perkuburan Kampung Padang Gerik.

Sementara itu, kejadian kedua berlaku hari ini melibatkan remaja perempuan yang sama umur, dalam perjalanan pulang dari sekolah sekitar pukul 3.20 petang di lokasi yang sama.

"Polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, usaha mengesan saksi dan suspek sedang giat dijalankan bagi membantu siasatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta untuk tampil di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN