fb fb fb fb fb

Polis serbu stor dan makmal haram, rampas dadah hampir RM40 juta

Ketua Polis Negeri, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, menunjukkan dadah yang dirampas dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan/ BERNAMA

SEREMBAN, 18 Mac- Polis Negeri Sembilan berjaya membongkar makmal haram pemprosesan dadah serta stor simpanan yang menyimpan pelbagai jenis dadah membabitkan jumlah keseluruhan RM38.91 juta.

Menurut Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yusof ia hasil operasi sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri Sembilan telah menjalankan beberapa operasi di empat lokasi dalam daerah Seremban pada 13 Mac lalu.

Lokasi berkenaan ialah di Kawasan Industri Ringan Jalan Tun Dr Ismail, Taman Sri Rahang, Taman Bidara dan Taman Bukit Kaya.

"Jumlah keseluruhan rampasan adalah sebanyak 274.14 kilogram pelbagai jenis dadah iaitu 335.5 gram (g) ketamin, heroin (2,058 g), syabu (12,044 g), serbuk ekstasi (80,201 g), pil ekstasi (125,258 g), pil eramin 5 (39,242 g) dan ganja (15,00 g) dianggarkan bernilai RM38.9 juta.

"Dadah-dadah ini dipercayai boleh digunakan seramai 442,548 penagih, modus operandi sindiket terbabit adalah menjadikan kilang sebagai tempat memproses.

"Tiga rumah yang dijadikan inap desa sekitar Taman Sri Rahang, Taman Bidara dan Taman Bukit Kaya digunakan sebagai stor simpanan dadah sebelum diedarkan di seluruh kawasan ataupun untuk pasaran tempatan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Sidang Media di Ibu Pejabat Polis (IPK) Negeri Sembilan di sini.

Hasil siasatan terhadap lelaki itu yang dipercayai berperanan sebagai penjaga kawasan di situ, polis menyerbu ketiga-tiga rumah terbabit yang dijadikan stor penyimpanan dadah.

Menerusi operasi di lokasi pertama kawasan Perindustrian Ringan Jalan Tun Dr Ismail pada pukul 6.15 petang membabitkan nilai rampasan RM239,130.

Polis turut menemukan empat paket plastik lut sinar berisi dadah disyaki ketamin dengan anggaran berat 335.65 garam, dua paket plastik warna hijau bersisi bahan serbuk disyaki heroin base (2,058 gram), 63 mesin pelbagai jenis disyaki untuk memproses dadah sintetik, 14 balang kaca, 11 kotak kayu berisi bahan serbuk dan cecair.

Sementara itu turut ditemukan ialah tiga tong berisi serbuk disyaki bahan kimia, lima paket plastik berisi bahan serbuk pelbagai jenis bahan kimia serta 11 guni berisi serbuk yang semuanya dipercayai untuk memproses dadah.

Seorang lelaki warga tempatan berumur 52 tahun turut ditahan di lokasi berkenaan.

Manakala menerusi operasi di lokasi kedua iaitu Taman Sri Rahang, membabitkan nilai rampasan berjumlah RM38.67 juta.

Pihak polis menjumpai dadah jenis syabu dengan anggaran berat 12.04 gram, serbuk ekstasi (80.20 gram), pil ektasi (125.25 gram) pil eramin 5 (39.24 gram) dan ganja (15.00 gram).

Rampasan di lokasi ketiga iaitu di Taman Bidara pula, pihak polis merampas dua buah mesin pencetak pil, dua guni bersama empat bungkusan plastik lutsinar berisi serbuk putih disyaki bahan kimia untuk memproses dadah, lapan paket plastik lutsinar berisi sebuk pewarna dan empat botol plastik bewarna biru berisi cecair pewarna.

Manakala lokasi terakhir di Bukit Kaya, polis merampas 96 tong plastik berisi bahan serbuk dan cecair serta enam guni dan sebuah bungkusan plastik berisi serbuk kimia disyaki untuk memproses dadah.

Datuk Ahmad Dzaffir berkata hasil serbuan pihaknya turut menyita sebuah kenderaan, wang tunai dan barang kemas berjumlah 253,413.32 dan kes akan disiasat di bawah akta dadah berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988.

Suspek yang ditahan akan direman selama tujuh hari bermula 14 Mac hingga 20 Mac dan akan disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI