BATU PAHAT, 19 Mac – Seorang pekebun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini atas pertuduhan membunuh kenalan wanitanya yang juga ibu kepada tiga anak, awal bulan ini.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Muhammad Firdaus Baktehir, 29, di hadapan Majistret Arun Noval Dass, kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Syarah Nurul Masturah Abdullah, 31, di sebuah rumah di Lorong 1, Kampung Baru, Sri Gading, Batu Pahat pada 8 Mac lalu, kira-kira pukul 5 petang.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 24 April sebagai tarikh sebutan semula kes bagi menunggu laporan forensik.