fb fb fb fb fb

Polis Sarawak rampas pelbagai jenis dadah, cekup 325 penagih dalam tiga hari

Datuk Mancha Ata bercakap dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di Kuching

KUCHING, 2 Februari- Polis Sarawak merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM64,000 dalam Operasi Tapis Khas yang dijalankan pada 29 hingga 31 Januari lepas di seluruh negeri.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata rampasan membabitkan 1,197.22 gram dadah.

Katanya, daripada jumlah itu, pihaknya mengenal pasti dadah jenis syabu 303.74 gram, ketamine 1.27 gram, ganja 886.41 gram, pil erimin 5 0.25 gram dan serbuk ekstasi 5.55 gram.

"Jika mengikut hasil rampasan, dadah berkenaan dianggarkan boleh digunakan seramai 3,314 orang penagih.

"Seramai 325 orang berusia antara 16 dan 69 tahun terdiri daripada 306 lelaki dan 19 perempuan turut ditangkap dalam operasi tesebut.

"Daripada jumlah itu, seramai 27 orang dikenal pasti sebagai 'tokan dadah', penagih 191 orang, dan Orang Dikehendaki (Wanted Person) 40 orang,"katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di Kuching hari ini.

Jelas Datuk Mancha, sebanyak 292 pemeriksaan telah dijalankan di kawasan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), ladang, jeti nelayan, perkampungan, perumahan, rumah kedai dan sarang penagihan dadah.

Katanya, Ops Tapis Khas dijalankan antara lain untuk mengesan dan menangkap tokan dadah, memusnahkan sarang penagihan dadah, mengambil tindakan keatas penagih tegar, selain mengesan dan menangkap Orang Dikehendaki (Wanted Person) atas kesalahan dadah.

Dalam pada itu, Datuk Mancha turut mendedahkan sepanjang Januari 2024, sejumlah lebih RM7.4 juta nilai rampasan dadah ditelah direkodkan Polis DiRaja Malaysia Sarawak selain menyita lebih RM456,566 hasil pendapatan pengedaran dadah.

Malah, pihaknya juga berjaya menangkap 1,221 orang termasuk 82 tokan dadah.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE