fb fb fb fb fb

Polis sahkan reman suspek kes bunuh Nur Farah Kartini disambung tujuh hari

Suspek diiringi polis ketika tiba di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu untuk mendapatkan perintah sambung reman

KUALA LUMPUR, 23 Julai- Polis mengesahkan tempoh reman suspek kes pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah, disambung tujuh hari lagi bermula hari ini sehingga 29 Julai depan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dalam satu kenyataan berkata suspek dibawa semula ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu untuk disambung reman kali kedua.

Perintah sambung reman dikeluarkan oleh Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza selepas mendengar permohonan polis di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu.

Perintah reman itu dilakukan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, selepas tempoh asal reman suspek tamat hari ini.

Dalam pada itu, mengenai perkembangan terkini kes, Hussein berkata Pasukan Forensik Unit Selam Bukit Aman berjaya menemui dua rangkai kunci kereta dan satu dompet mengandungi dokumen pengenalan diri mangsa.

Kedua-dua barang kes dipercayai berkaitan dengan kes pembunuhan yang sedang disiasat.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE