fb fb fb fb fb

Bekas juruteknik mengaku tidak bersalah 13 pertuduhan rasuah

Tertuduh, Shaharuddin Sulong (bertopi) didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas 13 tuduhan menerima rasuah berjumlah RM14,300, empat tahun lalu.

JOHOR BAHRU, 23 Julai- Seorang bekas juruteknik di sebuah syarikat di Pengerang, Kota Tinggi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas 13 tuduhan menerima rasuah berjumlah RM14,300, empat tahun lalu.

Tertuduh, Shaharuddin Sulong, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan tersebut di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Ariffin Ismail.

Tertuduh didakwa menerima suapan sebanyak RM500 sehingga RM2,000 berjumlah RM14,300 melalui akaun miliknya bagi memudahkan pemeriksaan kemasukan kenderaan dan peralatan kerja bagi sebuah syarikat jentera berat di Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang.

Perbuatan tersebut dilakukan tertuduh di sebuah bank di Kota Tinggi antara 12 November 2020 sehingga 25 Februari 2022.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan boleh dihukum mengikut Seksyen 25(2) akta yang sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa raya SRPM, Nur Zahida Mohd Razi manakala tertuduh diwakili peguam, Iskandar Shah Ibrahim.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan pasport tertuduh diserah kepada mahkamah serta perlu melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM Johor tanpa gagal.

Mahkamah menetapkan 19 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

ZEHRA BINTI ZAMBRI