fb fb fb fb fb

Suri rumah didakwa aniaya anak tiri hingga cedera

Tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini

KOTA BHARU, 23 Julai- Seorang suri rumah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas dua pertuduhan menganiaya anak tiri secara mengurung mangsa sehingga menyebabkan kecederaan dalam kejadian di Kok Lanas dekat sini, di antara 10 hingga 12 Julai lalu.

Tertuduh, Nor Hidayah Che Awang, 37, mengaku tidak bersalah sebaik kertas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim, Zulkifli Abllah.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa menganiaya anak tiri lelaki berusia sembilan tahun dengan cara mengurung sehingga mendatangkan kecederaan di kepala, badan dan muka.

Kejadian itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Taman Yik Perdana Kok Lanas sekitar jam 1 tengahari hingga 6.15 pagi pada 10 hingga 12 Julai lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611] yang boleh dihukum dibawah Seksyen 31 (1) akta yang sama.

Jika disabitkan kesalahan tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Siti Edabayu Subhan, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Ahmad Adha Amir Yasser Amri.

Dalam pendakwaan, Siti Edabayu memohon supaya jaminan tidak ditawarkan memandangkan kes berkenaan serius selain mangsa baru berusia sembilan tahun dan dalam keadaan trauma disebabkan kejadian itu.

Sementara itu, peguam tertuduh memohon jaminan minimum ditawarkan memandangkan tertuduh seorang suri rumah dan menjaga ibu yang mengalami strok.

"Tertuduh juga baru berkahwin selama setahun dengan suaminya dan difahamkan suami tertuduh sudah tidak pulang ke kediaman mereka.

"Saya berjanji tertuduh akan mematuhi segala peraturan dan tidak akan mengganggu saksi-saksi kejadian," katanya.

Mahkamah kemudiannya menawarkan jaminan sebanyak RM12,000 dengan mematuhi syarat ditetapkan termasuk melapor diri di Balai Polis berdekatan.

Mahkamah turut menetapkan 26 Ogos sebagai tarikh sebutan semula kes.

ZEHRA BINTI ZAMBRI