fb fb fb fb fb

Tiga penyokong JDT didenda bakar suar

Ketiga-tiga tertuduh ketika keluar daripada bilik mahkamah

ALOR SETAR, 23 Julai- Tiga penyokong Johor Darul Ta'zim (JDT) didenda RM100 selepas mengaku bersalah di dua Mahkamah Majistret berbeza, hari ini kerana membakar suar selepas perlawanan pusingan pertama Piala FA antara pasukan itu dengan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada Jumaat lepas.

Tertuduh Jalali Hamid, 47 tahun dan Mohd Faizol Mohd Sapian, 27 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Zul Hilmi Latif di Mahkamah Majistret 3.

Seorang lagi tertuduh, Mohamad An'naffi Sahid, 34 tahun turut membuat pengakuan sama dalam pertuduhan berasingan di hadapan Majistret Siti Norhidayah Mohd Noor di Mahkamah Majistret 2.

Mengikut kertas pertuduhan, ketiga-tiga lelaki didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 10.45 malam di pekarangan Stadium Darul Aman.

Berdasarkan fakta kes,sepasukan pegawai dan anggota polis telah melihat tertuduh menyalakan suar di tempat letak bas penyokong JDT berhampiran pekarangan stadium berkenaan.

Tertuduh kemudiannya diarahkan untuk memadamkan suar tersebut, sebelum diperiksa dan ditahan untuk tindakan lanjut.

Pertuduhan terhadap Jalali dan Mohd Faizol dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farhanah Fuad Mohamad Faiz, manakala pertuduhan terhadap Mohamad An'nafi dilakukan Timbalan Pendakwa Raya J. Banusha.

Pertuduhan dikendalikan mengikut Seksyen 3(5) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM100 atau dipenjarakan tidak lebih sebulan atau kedua-duanya sekali.

Jalali dan Mohd. Faizol diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Tasha Farha Mohamad Nizam, manakala Mohamad An'naffi diwakili seorang lagi peguam YBGK, H.A Chuah.

Ketiga-tiga mereka kemudiannya didenda RM100 dengan Jalali serta Mohd. Faizol diarahkan untuk menjalani hukuman penjara 15 hari jika gagal melunaskan denda, manakala Mohamad An'nafi diperintahkan untuk dipenjara 14 hari jika gagal berbuat demikian.

Sebelum itu, Zul Hilmi mengingatkan kedua-dua tertuduh bahawa kesalahan itu bukan perkara 'main-main' ketika pertuduhan dilakukan di Mahkamah Majistret 3.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE