fb fb fb fb fb

Kanak-kanak perempuan enam tahun hilang di JB ditemui selamat di Batang Kali

Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar

JOHOR BAHRU, 23 Julai- Kanak-kanak perempuan yang diculik Sabtu lalu di Iskandar Puteri, Johor, Albertine Leo Jia Hui ,6, berjaya dijumpai di Batang Kali, Selangor kira-kira pukul 4.30 pagi tadi.

Mangsa ditemui dalam keadaan selamat, di sebuah hotel bajet sebelum dibawa ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.

Susulan itu, seorang suspek lelaki berusia 31 tahun dicekup dan dibawa ke Johor untuk siasatan lanjut. 

Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, tangkapan itu menjadikan jumlah suspek yang ditahan sehingga kini, lima orang dengan empat daripadanya direman sehingga Jumaat ini.

Menurutnya, ketika ditemui keadaan fizikal Albertine Leo masih sama dan didapati tiada kesan kecederaan.

"Tiada sebarang hubungan dengan mangsa. Kesemua suspek tiada hubungan pertalian dengan mangsa. Isu kurung atau tidak kurung itu tidak wujud sebab mangsa di bawah umur telah dilarikan.

"Kes kehilangannya itu sudah diklasifikasikan semula daripada laporan orang hilang kepada Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik dan melarikan seseorang dengan niat hendak mengurungnya secara sulit dan salah," katanya.

Menurut M. Kumar, sehingga tangkapan dibuat, tiada permintaan wang tebusan diminta suspek terhadap keluarga mangsa dan motif kejadian juga sedang dalam siasatan.

Albertine Leo dilaporkan hilang semasa Festival Jepun Bon Odori di Eco Galleria, Iskandar Puteri, Johor Bahru kira-kira jam 8.30 malam 20 Julai.

Dalam kejadian itu, ibu mangsa, Leo Qieo Xin, 37, merupakan salah seorang operator gerai di festival berkenaan, sedang menguruskan pelanggan sebelum menyedari bahawa anaknya telah hilang.

ZEHRA BINTI ZAMBRI