fb fb fb fb fb

Maritim Malaysia tahan kapal korek pasir dikendalikan warga asing

Sebuah kapal korek yang dikendalikan warga asing ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor pada kedudukan kira-kira 11.5 batu nautika barat daya Pulau Ketam pada Isnin / Foto Maritim Malaysia

PELABUHAN KLANG, 23 Julai – Sebuah kapal korek yang dikendalikan warga asing ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor pada kedudukan kira-kira 11.5 batu nautika barat daya Pulau Ketam pada pukul 2.00 petang, pada Isnin.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata kapal tersebut telah dipantau Maritim Malaysia selama beberapa hari sebelum ditahan selepas menerima aduan daripada komuniti maritim.

"Kapal KM DANGA yang sedang melaksanakan OP EHSAN, OP MURNI dan OP TIRIS ditugaskan untuk membuat pemeriksaan ke atas kapal korek tersebut.

"Kapal berkenaan ditahan ketika sedang melakukan aktiviti pengerukan pasir dasar laut diperairan Pulau Ketam," katanya menerusi kenyataan.

Hasil pemeriksaan mendapati kapal tersebut dikendalikan warga Indonesia berumur 30 tahun bersama dua kru warga Indonesia dan lapan kru warga China berumur diantara 30 hingga 61 tahun.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, kesemua kru gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah dan lesen untuk beroperasi," katanya.

Kesemua kru dan kapal berserta muatan pasir seberat 2,200 meter cubic ditahan dan dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum diserahkan kepada Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah dan kesalahan di bawah seksyen 4 (7) Akta Pelantar Benua 1966 kerana melakukan aktiviti pengerukan pasir dasar laut tanpa lesen.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN