SUBANG JAYA, 22 Ogos - Polis berjaya merampas dadah jenis syabu bernilai kira-kira RM7 juta, selepas menerima maklumat orang awam berkaitan kemalangan sebuah kereta di SS17 Subang Jaya, pada 13 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata pemeriksaan terhadap kereta tersebut mendapati kenderaan itu ditinggalkan tanpa pemandu.
"Pihak polis telah merampas sebelas guni berisi 208 bungkusan plastik mengandungi bahan disyaki syabu, dengan anggaran berat keseluruhan lebih 220 kilogram yang dijumpai dalam kereta tersebut," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, di sini hari ini.
Pemeriksaan lanjut turut menemukan kad pengenalan seorang lelaki tempatan, Mohd Rahmat Hanafi, 32 tahun dari Rantau Panjang, Kelantan yang dipercayai dapat membantu siasatan.
Beliau berkata, suspek mempunyai enam rekod jenayah serta sembilan kes dadah.
Polis kini giat memburu individu berkenaan dan meminta orang ramai menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat, Inspektor Mohamad Saifullah Rosdi, atau mana-mana balai polis berdekatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Beliau menegaskan kerjasama masyarakat amat penting dalam usaha berterusan membanteras pengedaran dadah di negara ini.
Dalam perkembangan lain, polis telah merakam keterangan 30 individu termasuk ahli keluarga, jiran dan rakan berhubung kes kematian seorang pelajar kolej wanita di kediamannya di USJ 2/1, di sini pada 14 Ogos lepas.
"Siasatan masih diteruskan untuk mengenalpasti suspek yang terlibat dan sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa", katanya.
Mangsa berusia lingkungan 20-an ditemui tergantung pada kipas siling di ruang tamu tingkat dua rumah itu oleh bapanya pada 11.55 pagi.
Mangsa yang tinggal bersama kakak serta sepupu dipercayai bersendirian ketika kejadian dan polis mengesahkan tiada kehilangan harta benda dilaporkan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.