TAWAU, 22 Ogos- Mahkamah Tinggi Tawau memutuskan 13 remaja didapati bersalah atas tuduhan membunuh pelajar Kolej Vokasional (KV) Lahad Datu, Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan pada Mac tahun lalu.
Hakim Duncan Sikodol memaklumkan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
Kesemua tertuduh yang berusia antara 16 hingga 19 tahun didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Mereka berdepan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan.
Bagaimanapun, hakim menangguhkan hukuman pada 28 Ogos sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengikut Seksyen 90(12) Akta Kanak-Kanak 2001.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abdul Latif dan Ng Jhun Tao.
Mengikut pertuduhan, semua remaja itu dituduh bersama membunuh Mohamad Nazmie, 17 tahun, di bilik asrama Kolej Vokasional Lahad Datu pada pukul 9.00 malam, 21 Mac hingga pukul 7.38 pagi 22 Mac 2024.
Nazmie ditemukan tidak sedarkan diri di atas katil di bilik asrama kolej berkenaan sebelum disahkan meninggal dunia.
Keterangan perubatan turut mengesahkan kecederaan dialami mangsa berpunca daripada serangan beramai-ramai dan bukannya secara individu.