fb fb fb fb fb

Kakitangan JAIS didakwa terima suapan RM8,000 bagi bayaran kompaun halal

Pembantu hal ehwal JAIS, Amir Zubir, 45 dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam bagi pertuduhan rasuah/ Foto RTM

SHAH ALAM, 22 Ogos – Seorang penjawat awam di Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM8,000 daripada seorang individu pada Januari tahun lalu.

Tertuduh, Amir bin Zubir, 45 tahun yang bertugas sebagai Pembantu Hal Ehwal Islam di Bahagian Pengurusan Halal JAIS, didakwa memperoleh wang berkenaan melalui akaun peribadinya di sebuah bank tempatan daripada seorang wanita, Norshahila Mohamad Noor.

Suapan itu dipercayai sebagai dorongan untuk mengurangkan bayaran kompaun terhadap syarikat milik wanita tersebut, NF Toyyib Solutions, yang ketika itu sedang disiasat oleh Bahagian Pengurusan Halal JAIS.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Sebagai pertuduhan pilihan, Amir turut didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan kerana menerima wang tanpa balasan daripada pihak yang mempunyai kaitan dengan tugas rasminya. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga dua tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan oleh pihak pendakwa raya dan mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula dalam masa terdekat.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN