fb fb fb fb fb

Polis rampas dadah bernilai RM6.8 juta, dua sindiket aktif di Johor tumpas

FOTO RTM

JOHOR BAHRU, 10 Mac- Polis Johor tumpaskan dua sindiket pengedaran dadah, hasil enam serbuan sekitar Johor Bahru, 4 Mac lalu dan merampas dadah bernilai RM6.8 juta.

Ketua Polis Johor, Datuk M.Kumar berkata, lebih 41.6 kilogram dadah pelbagai jenis, 18 mililiter cecair ekstasi, tiga buah kereta, dua motosikal, wang tunai dan pelbagai jenis barang kemas, turut dirampas serta disita.

"Saya sudah bagitahu sebelum ini, serbuk ini mereka campurkan ketamin, meth syabu dan jadikan serbuk, dalam satu peket kandungan dadah pelbagai jenis.

"Ia kemudiannya dibungkus dalam peket-peket, harganya RM250 hingga RM300 bergantung kepada saiz peket," katanya.

Serbuan pertama dan kedua berjaya menumpaskan satu sindiket, dengan menahan  dua lelaki serta seorang wanita warga Vietnam berusia 25 hingga 29 tahun, di Seri Alam, Johor Bahru.

Menerusi serbuan itu, dadah bernilai RM1.56 juta dirampas.

Manakala sindiket kedua ditumpaskan pada hari yang sama, hasil tangkapan tiga lelaki dan seorang wanita berumur 17 hingga 42 tahun di Johor Bahru.

Serbuan berkenaan melibatkan rampasan dadah bernilai RM5.38 juta.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE