fb fb fb fb fb

Polis siasat warga asing simbah air panas pada anjing liar

Tangkap layar rakaman kamera liter tertutup menunjukkan seekor anjing berlari selepas disimbah dengan air panas oleh kakitangan kedai serbaneka di Ipoh

IPOH, 7 Mac- Polis mengesahkan seorang lelaki warga asing ditahan selepas disyaki menganiaya seekor anjing liar dengan menyimbah air panas dalam kejadian di Menglembu, Ipoh.

Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Penguasa Polis (SUPT) Mohamad Sajidan Abdul Sukor berkata, pihaknya menerima laporan mengenai insiden itu sekitar jam 12.30 tengah malam tadi susulan tularnya sebuah video di laman Facebook ‘Ipoh 怡保’.

"Siasatan awal mendapati suspek bertindak menyimbah secawan air panas ke atas anjing berkenaan yang ketika itu sedang berlegar di luar sebuah premis.

"Anjing tersebut telah diselamatkan dan dihantar ke klinik veterinar bagi mendapatkan rawatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan Seksyen 428 Kanun Keseksaan atas kesalahan menganiaya dan khianat terhadap haiwan.

Mohamad Sajidan berkata, polis kini dalam proses melengkapkan siasatan sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Negeri Perak untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai bahawa menganiaya haiwan adalah satu kesalahan jenayah.

"Orang ramai yang menghadapi gangguan melibatkan haiwan liar disaran untuk segera menghubungi pihak berkuasa tempatan atau Jabatan Veterinar bagi tindakan sewajarnya," katanya.

Orang ramai turut dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes berkenaan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE