fb fb fb fb fb

Polis rampas dadah bernilai RM5.88 juta

Sidang media mengenai kejayaan membongkarkan pelbagai jenis dadah bernilai RM5.88 juta hasil serbuan ke atas sebuah unit kondominium di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur/Foto FACEBOOK JSJN

KUALA LUMPUR, 13 September - Satu sindiket pengedaran dadah yang dipercayai bergiat aktif sejak awal tahun ini TUMPAS dengan penahanan 3 individu pada 11 September lalu dalam dua siri serbuan di ibu negara.

Dadah bernilai RM5.88 juta itu hasil serbuan ke atas sebuah unit kondominium yang dipercayai dijadikan stor penyimpanan.

Polis turut menahan tiga lelaki berusia 30 hingga 33 tahun, serta merampas kira-kira 154 kilogram (kg) dadah terdiri daripada Methamphetamine (111.42kg), kanabis (29.06kg), pil ekstasi (7.51kg) dan kristal MDMA (6.07kg).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata jumlah dadah itu, dianggarkan boleh digunakan kira-kira 660,500 penagih sekiranya terlepas di pasaran.

“Suspek pertama disyaki penjaga stor, ditahan dalam sebuah kereta Proton Saga di tempat parkir sebuah kondominium, yang turut ditemukan sebuah beg sandang. Pemeriksaan beg sandang itu menemukan bahan disyaki dadah jenis Methamphetamine seberat 182.9 gram,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua suspek direman tujuh hari bermula semalam sehingga 18 Sept, bagi membantu siasatan.

Khaw berkata ketiga-tiga suspek mempunyai keseluruhan 13 rekod jenayah lampau dan hasil saringan awal polis, didapati negatif dadah.

Jelas beliau, JSJN percaya dalang utama sindiket masih bebas dan akan menjalankan siasatan lanjut untuk mencari saki baki sindiket bagi menumpaskan keseluruhan rangkaian.

Trainee