fb fb fb fb fb

Polis rampas dadah bernilai hampir RM136,000

FOTO RTM

ALOR SETAR, 24 Disember  - Polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM136,000 serta menahan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 50-an dalam satu serbuan di sebuah hotel di sini, pada Selasa (semalam).

Serbuan itu dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar hasil maklumat risikan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Syed Basri Syed Ali, berkata hasil pemeriksaan menemukan syabu seberat 1,197.91 gram, melibatkan 20 paket plastik lutsinar, selain heroin seberat 67.40 gram yang ditemui dalam empat paket berasingan.

Turut dirampas ialah tujuh papan pil disyaki Eramin 5 dengan berat keseluruhan 20 gram, menjadikan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM135,900, termasuk sebuah kereta milik suspek.

Menurut beliau, saringan air kencing mendapati suspek positif methamphetamine dan amphetamine, selain mempunyai lima rekod lampau kesalahan dadah dan lapan rekod jenayah lain.

Suspek kini direman selama lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD