ALOR SETAR, 24 Disember - Nilai rampasan dadah di Kedah mencatat lonjakan luar biasa apabila merekodkan rampasan bernilai RM47.6 juta sejak awal tahun hingga 21 Disember.
Angka itu menunjukkan peningkatan lebih 500 peratus berbanding RM8.8 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah, berkata peningkatan itu selari dengan pertambahan kes berkaitan dadah yang merekodkan 26,907 kes, naik 13.2 peratus berbanding 23,759 kes tahun lalu.
Menurut beliau, antara dadah yang paling banyak dirampas ialah bunga ganja seberat 426 kilogram, diikuti syabu (419 kilogram), ganja (192 kilogram) serta heroin base (120 kilogram), selain rampasan ketum.
“Jadi saya nak bagi amaran kepada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab di luar sana, satu saja pesan saya, pelanduk selalu lupakan jerat tapi jerat tak pernah lupakan pelanduk.
"Kita tak akan berputus asa dengan kekuatan polis yang sebesar itu, kita berterusan untuk membanteras dadah apatah lagi dibantu dengan elemen-elemen lain dalam PDRM termasuk CID, MPV, waima agensi lain seperti tentera yang baru ini kita dedahkan", katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini.
Tegas beliau, pihak polis tidak akan berkompromi dalam membanteras penyalahgunaan dadah di Kedah, termasuk melibatkan mana-mana individu tanpa mengira jawatan atau kedudukan.