KUALA LUMPUR, 23 Disember - Sebanyak 1,486 Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) dilaksana di Kuala Lumpur, sehingga kini.
Ia merangkumi 1,114 program secara bergerak, 328 program dalam premis, 20 PJRM Pasar, 12 PJRM Kampus dan 12 PJRM Premium.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), Mohd Sabri Seman berkata, program itu membolehkan pengguna menikmati penjimatan harga barangan keperluan harian antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran semasa.
"KPDN Kuala Lumpur juga telah melaksanakan PJRM yang bertemakan 'Kembali ke Sekolah'. Program PJRM Kembali ke Sekolah kita laksanakan di Kuala Lumpur yang meliputi program di premis dan juga secara bergerak. Ini kita akan adakan di pasar raya Hari-Hari cawangan Bandar Permaisuri," katanya.
Beliau berkata demikian pada Sidang Media Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Wilayah Persekutuan selepas meninjau sebuah pasar raya di Taman Tun Dr Ismail di sini.
Dua program itu dilaksanakan bermula 22 hingga esok (24 Disember) melibatkan penjualan kelengkapan persekolahan pada kadar diskaun sehingga 30 peratus.