ALOR SETAR, 23 Disember - Perbuatan jenayah seorang lelaki bersama menantunya berakhir selepas kedua-dua suspek berusia 46 dan 23 tahun dicekup pihak polis.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan seorang penuntut wanita warga Tanzania diragut oleh seorang lelaki bermotosikal semasa berjalan kaki di hadapan Masjid Al-Bukhary, Alor Setar, pada pukul 11.00 malam, 19 Disember lalu.
Pihak polis melakukan serbuan di sebuah rumah di Lorong Air Putih, Alor Setar lima jam kemudian dan berjaya menahan seorang lelaki berusia 23 tahun yang mempunyai tiga rekod kesalahan dadah serta bapa mentuanya yang mempunyai 12 rekod jenayah lampau melibatkan kes curi kabel dan memiliki dadah.
"Pengakuan suspek (kedua-dua) telah melakukan lima kes ragut, dua kes pecah rumah dan satu kes curi motosikal di sekitar Alor Setar sedang diperincikan. Ujian urin kedua-dua suspek didapati positif dadah," katanya kepada pemberita di Ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Kedah.
Kedua-dua suspek direman sehingga esok (24 Disember) untuk membantu siasatan.
Hasil siasatan awal, kumpulan berkenaan telah beroperasi selama tiga bulan dan aktif di sekitar Kota Setar.
Polis merampas sebuah motosikal yang digunakan dalam semua kes samun.
Turut dirampas, beberapa barang milik mangsa seperti sebuah motosikal, telefon bimbit, satu tablet, dan dua jam tangan berjenama.
Tambahnya, suspek berusia 23 tahun melakukan aktiviti samun, manakala bapa mentuanya bertindak menjual dan melupuskan barang samun.
Kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan; Seksyen 457 Kanun Keseksaan; dan Seksyen 379 A Kanun Keseksaan.