ALOR SETAR, 23 Disember - Polis Kedah berjaya mematahkan cubaan menyeludup 75 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM2.4 juta dan merampas sepucuk pistol bersama peluru.
Ia hasil penahanan sebuah pacuan empat roda dipandu seorang lelaki berusia 48 tahun di Plaza Tol Hutan Kampung, Alor Setar, awal pagi semalam.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, hasil pemeriksaan menemukan 75 bungkusan dadah jenis syabu yang disorok di dalam empat guni di bahagian bonet kenderaan.
Pemeriksaan lanjut turut menemukan sepucuk pistol bersama 12 butir peluru serta sejumlah dadah yang disembunyikan di bahagian bawah tempat duduk penumpang belakang.
"Siasatan awal mendapati suspek bekerja sebagai mekanik kereta dan mempunyai satu rekod lampau di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana bertindak sebagai orang upahan.
"Barang ataupun rampasan ini dipercayai telah dibawa dari negara jiran menerusi satu sindiket dan dibawa ke Pulau Pinang untuk diserahkan kepada individu yang memberi upahan kepadanya sebanyak RM15,000.
"Polis sedang berusaha mengesan penama atau subjek yang dinyatakan suspek," katanya.
Susulan tangkapan dan rampasan tersebut, pihaknya melakukan serbuan di rumah suspek di Sungai Petani dan menyita sebuah kereta mewah dan motosikal berkuasa tinggi bernilai RM55,000 ribu yang dipercayai diperoleh hasil daripada aktiviti pengedaran dadah.
Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 28 Disember bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) (A) akta yang sama; serta Seksyen 8 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971 dan Seksyen 8 (A) Akta Senjata Api 1960.
Polis kini sedang memburu beberapa lagi individu yang dipercayai memainkan peranan penting dalam proses pengendalian dan penyelarasan penyeludupan tersebut.