TELUK BAHANG, 23 Disember - Polis berjaya membongkar makmal memproses dadah jenis syabu yang dianggarkan 1.2 tan dengan nilai hampir RM38 juta ringgit di dalam kebun durian, di Pulau Pinang pada 20 dan 21 Disember lepas.
Pengarahnya, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kejayaan tersebut hasil risikan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dengan kerjasama polis kontinjen Pulau Pinang menerusi tiga serbuan berasingan di sekitar Georgetown dan Teluk Bahang.
"Kaedah pemprosesan dadah ini dikendalikan oleh sindiket yang diketuai individu dari luar negara dan beroperasi dari luar negara. Ketua sindiket memberikan arahan serta merekrut warga tempatan sebagai koordinator bagi menguruskan operasi dan penghantaran bahan dari luar negara.
"Sindiket turut menghantar tiga ahli kimia dari negara berkenaan bagi menjalankan proses penghasilan dadah. Seterusnya, koordinator tempatan bertanggungjawab menghantar dadah yang telah diproses ke luar negara.
"Setakat ini, pihak polis mengesan tujuh bungkusan yang dihantar ke Australia dan Hong Kong," katanya dalam sidang media berkaitan rampasan di sini, yang turut dihadiri, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail.
Serbuan pertama di sebuah premis di Jalan Gurdwara, George Town membawa kepada penahanan tiga lelaki warganegara asing berusia antara 32 hingga 38 tahun, manakala seorang lelaki tempatan yang dipercayai sebagai koordinator sindiket maut selepas terjatuh dari tingkat lima bangunan ketika cuba melarikan diri.
Manakala, serbuan kedua di sebuah premis perindustrian di Taman Windmill, Jalan Gurdwara membawa kepada rampasan serbuk disyaki dadah seberat 474 kilogram.
Bagi serbuan ketiga pula di sebuah rumah tidak bernombor di kawasan kebun durian di Jalan Teluk Bahang dipercayai dijadikan makmal utama pemprosesan dadah, menemukan 60 kilogram serbuk syabu, 54 kilogram dadah berbentuk kristal dan 574 kilogram dadah dalam bentuk cecair
Sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak Ogos lalu. Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek positif syabu, malah semakan mendapati dua daripada mereka mempunyai rekod kesalahan dadah di negara asal, termasuk seorang yang pernah dipenjara selama tujuh tahun.
Kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga 27 Disember depan, bagi membolehkan siasatan dijalankan bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Turut disita dua buah kenderaan termasuk sebuah pacuan empat roda bernilai RM181,000.