fb fb fb fb fb

SPRM siasat dakwaan rasuah libat pegawai kanan tentera

SPRM telah hadir ke Kementerian Pertahanan (MINDEF) bagi memulakan siasatan awal / Foto Fail

KUALA LUMPUR, 23 Disember - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil maklum dakwaan seorang aktivis berhubung aliran masuk wang mencurigakan ke akaun bank seorang pegawai kanan tentera.

Menurut kenyataan, susulan dakwaan tersebut, SPRM telah hadir ke Kementerian Pertahanan (MINDEF) pada pukul 11.30 pagi hari ini bagi memulakan siasatan awal terhadap beberapa projek melibatkan Tentera Darat dari tahun 2023 hingga kini.

Siasatan tertumpu kepada projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab (PTJ) Tentera Darat, termasuk aspek pematuhan tatacara kewangan.

"Transaksi kewangan mencurigakan yang dikaitkan dengan individu-individu tertentu yang dinamakan dalam dakwaan tersebut juga akan diteliti," menurut kenyataan SPRM.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki mengesahkan satu kertas siasatan dibuka bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 berkaitan dakwaan rasuah berkenaan.

Beliau menegaskan, semua siasatan dijalankan secara bebas, profesional dan berasaskan fakta serta bukti, selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Terdahulu, pihak SPRM meminta aktivis tersebut tampil membuat laporan rasmi berhubung dakwaannya mengenai seorang pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terlibat rasuah dan siasatan akan dilakukan sekiranya dakwaan rasuah atau penyalahgunaan kuasa itu disokong oleh maklumat dan bukti yang sahih.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN