JOHOR BAHRU, 24 Disember - Tiga sekeluarga warga Singapura dan seorang pelakon sambilan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru atas dua pertuduhan bergaduh sehingga mendatangkan kecederaan dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah, Ahad lalu.
Tertuduh, Chua Chin Heng, 56, Loe Sou Peng, 55, dan Chua Kai Jun, 27, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret A. Sharmini.
Seorang lagi tertuduh, R. Suresh, bagaimanapun mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga sekeluarga itu didakwa bertindak bersama-sama dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap P. Suresh dengan memukul mangsa di sebuah pusat beli-belah di Johor Bahru, kira-kira pukul 5 petang pada 21 Disember lalu.
Chua Chin Heng dan P. Suresh turut berdepan satu lagi pertuduhan kerana berkelakuan tidak senonoh dengan bertengkar di dalam kawasan balai polis.
Mahkamah membenarkan ikat jamin RM9,000 terhadap Chin Heng, manakala Sou Peng dan Kai Jun masing-masing dibenarkan diikat jamin RM5,000 seorang.
Dalam prosiding berasingan di hadapan Majistret Nabilah Nizam, R. Suresh mengaku bersalah atas pertuduhan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap keluarga berkenaan dan didenda RM1,900.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.
Mahkamah menetapkan 27 Januari tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.