fb fb fb fb fb

21 premis disyaki terlibat aktiviti perjudian haram diserbu

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, Datuk M Kumar/Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 24 Disember - Polis Diraja Malaysia (PDRM) memeriksa 21 premis disyaki terlibat kegiatan perjudian dalam talian yang beroperasi secara haram melalui pusat panggilan, secara serentak di seluruh negara dari 20 hingga 23 Disember lalu.

Operasi Op Padu Mega yang dilaksanakan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman bersama Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen itu mendapati 20 premis dikenal pasti sebagai pusat panggilan aktiviti perjudian, manakala satu lagi premis terlibat dalam aktiviti penipuan pelaburan tidak wujud.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, Datuk M Kumar berkata, seramai 47 warga tempatan serta 38 warga asing yang disyaki berperanan sebagai operator serta pegawai khidmat pelanggan berjaya diberkas.

Turut dirampas komputer, tablet, telefon bimbit serta pelbagai peralatan komunikasi yang digunakan bagi menjalankan kegiatan tersebut.

“Kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah berkaitan bagi siasatan lanjut di bawah beberapa peruntukan undang-undang, antaranya Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953, Kanun Keseksaan serta Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Menurut PDRM, sejak 1 Januari hingga 23 Disember 2025, sebanyak 117 premis pusat panggilan perjudian telah diserbu, dengan 713 individu ditahan di seluruh negara.

PDRM menegaskan operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi membanteras kegiatan perjudian tanpa lesen dan orang ramai digesa menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.

AZRUL FAIZAL JUSOH