fb fb fb fb fb

Polis rampas 269 bungkusan dadah bernilai RM13.6 juta

Polis menemukan 269 kilogram dadah terdiri daripada syabu, ketamin dan pil ekstasi/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 18 April –Polis menumpaskan sindiket dadah rentas sempadan dalam serbuan di Bandar Baru Seri Petaling baru-baru ini dipercayai untuk pasaran tempatan serta luar negara termasuk Hong Kong dan Indonesia.

Serbuan dilakukan oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman hasil risikan selama hampir dua bulan.

Pemangku Pengarah JSJN Bukit Aman, Deputi Komisioner Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali berkata, sindiket berkenaan menggunakan bungkusan teh Cina sebagai taktik penyamaran bagi menyembunyikan dadah.

Manakala dalang utama dipercayai berada di Thailand dan kini sedang diburu pihak berkuasa.

Katanya, dalam operasi yang dijalankan pada pukul 5.30 petang Isnin lalu, dua lelaki tempatan berusia 42 dan 43 tahun ditahan ketika sedang menjamu selera di sebuah restoran.

"Susulan tangkapan itu, pihaknya menyerbu sebuah rumah sewa yang dijadikan stor dan menemukan 269 kilogram dadah terdiri daripada syabu, ketamin dan pil ekstasi.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM13.6 juta. Jumlah dadah ini berpotensi merosakkan lebih sejuta nyawa. Sindiket ini menyewa rumah pada kadar RM1,700 sebulan untuk dijadikan stor simpanan sebelum diedar ke pasaran tempatan dan luar negara,” katanya pada sidang media khas di Menara 1, Bukit Aman, hari ini.

Menurut beliau, sindiket turut menggunakan bungkusan teh Cina sebagai taktik penyamaran bagi mengaburi pihak berkuasa, manakala dalang utama sindiket dipercayai berada di Thailand dan kini sedang diburu.

Kedua-dua suspek ditahan dipercayai berperanan sebagai "runner" dan penyimpan stok, manakala siasatan lanjut mendapati dalang utama mempunyai 17 rekod jenayah lampau termasuk pecah rumah, rompakan bersenjata dan curi kenderaan.

Dalam pada itu, polis menasihati pemilik premis agar lebih berwaspada dengan aktiviti penyewa yang mencurigakan dan segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya timbul sebarang keraguan.

Sebarang maklumat berkaitan penyalahgunaan dadah boleh disalurkan ke hotline JSJN di talian 012-208 7222.

GRACE AISYAH KEDAYAN