KUANTAN, 19 April- Seorang pensyarah dan seorang pesara wanita mengalami kerugian keseluruhan lebih RM551,000 selepas menjadi mangsa skim pelaburan saham tidak wujud yang beroperasi melalui platform media sosial.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kes pertama melibatkan seorang pensyarah lelaki berusia 43 tahun yang kerugian RM240,000 selepas diperdaya suspek yang dikenali menerusi laman Facebook pada 10 Mac lalu.
Mangsa pada mulanya membuat tiga transaksi pelaburan berjumlah RM7,000 dan menerima pulangan awal sebanyak RM3,000 sebelum menambah pelaburan menggunakan wang simpanannya.
Menurutnya, mangsa kemudian diberitahu bahawa keuntungan pelaburannya telah mencecah RM1 juta, namun dimaklumkan tidak dapat mengeluarkan wang berkenaan kerana ‘terlupa kata laluan’.
“Suspek kemudian meminta bayaran tambahan RM250,000 kononnya untuk mendapatkan kata laluan baharu. Mangsa mula curiga dan menyedari telah ditipu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam kes berasingan, seorang pesara wanita berusia 66 tahun pula kerugian RM311,998 selepas tertarik dengan iklan pelaburan di aplikasi TikTok sejak 11 November tahun lalu.
Mangsa telah dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp dan diarahkan memuat turun aplikasi pelaburan melalui pautan yang diberikan suspek.
Tertarik dengan janji pulangan lumayan, mangsa membuat beberapa transaksi pelaburan menggunakan wang simpanan dari 5 Januari hingga 15 April lalu.
“Aplikasi pelaburan itu kemudian tidak lagi boleh diakses dan mangsa diminta membuat bayaran tambahan lebih RM50,000 bagi ‘melepaskan kawalan risiko bank’, sebelum menyedari ditipu,” katanya lagi.
Polis menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan janji pelaburan yang tidak realistik dan sentiasa membuat semakan latar belakang sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan.