fb fb fb fb fb

Pencemaran udara: Kilang proses tempurung kelapa henti operasi serta-merta

Premis dikenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) bawah Seksyen 38(1)(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974

KUBANG PASU, 20 April - Sebuah kilang memproses tempurung kelapa bagi menghasilkan "carbon black" di sini, diarah menghentikan operasi serta-merta berikutan pencemaran udara yang mengundang ketidakselesaan penduduk setempat.
 
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pihaknya menerima aduan awam pada 18 April lalu berhubung pencemaran udara. Hasil siasatan yang dijalankan pada hari sama mendapati, aduan berkenaan adalah berasas.
 
Beliau berkata, premis dikenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) bawah Seksyen 38(1)(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang dilakukan pada 19 April atas kegagalan mengadakan unit cerobong dan alat kawalan pencemaran udara di dalam premis semasa aktiviti pembakaran tempurung kelapa dijalankan bagi menghasilkan "carbon black" menyebabkan pencemaran udara yang ketara di sekitarnya.
 
"Penahanan operasi dibuat semalam kerana keadaan peralatan yang masih panas dan boleh membahayakan pegawai-pegawai penguatkuasa semasa pemeriksaan dijalankan.
 
"Tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) diambil bagi menghentikan pencemaran daripada terus berlaku serta mengambil langkah-langkah pembaikan dengan segera bagi mengawal pencemaran yang berlaku," kata Sharifah Zakiah.
 
Notis Arahan Seksyen 31 & 37 bawah Akta Kulaiti Alam Sekeliling, 1974 dikeluarkan kepada premis untuk tindakan pembaikan dan penyelenggaraan segera dalam tempoh POK terbabit.
 
Premis akan dibenarkan beroperasi kembali selepas JAS Kedah berpuas hati dengan tindakan pembaikan yang diambil premis.
 
Pihak industri diingatkan supaya sentiasa mematuhi sepenuhnya Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan bawahnya serta memastikan tidak menyebabkan apa-apa pencemaran kepada alam sekeliling.
 
Orang ramai diminta melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau email ke Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya. dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.

TETITIA YUSOFF