KUALA LUMPUR, 20 April- Polis sedang menjalankan siasatan berhubung satu kejadian tembakan melibatkan seorang pengawal keselamatan terhadap seorang lelaki yang bertindak agresif sambil bersenjatakan parang di sebuah restoran di Banting, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Penguasa Polis (SUPT) Mohd Akmalrizal Radzi dalam satu kenyataan malam tadi memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada pukul 3.31 petang, memaklumkan tentang seorang lelaki tempatan yang mengacukan parang ke arah petugas perubatan.
Menurut beliau, lelaki terbabit sebelum itu dilaporkan mengamuk di kediamannya di sekitar kawasan Banting sekitar pukul 12.05 tengah hari. Adik kepada lelaki tersebut telah menghubungi pihak polis berhubung kejadian awal itu.
Berikutan laporan tersebut, anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat segera dikerahkan ke lokasi dan membawa lelaki berkenaan ke Hospital Banting untuk mendapatkan rawatan.
Namun insiden lebih serius berlaku pada sebelah petang apabila suspek didakwa bertindak agresif semula, kali ini di kawasan restoran berhampiran, sehingga mencetuskan situasi cemas yang memaksa pengawal keselamatan di lokasi melepaskan tembakan menggunakan senapang patah.
Kes kini disiasat bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, serta Seksyen 37 dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960.
Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan. Individu yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi bilik gerakan IPD Kuala Langat di talian 03-3187 2222 atau hadir ke balai polis berhampiran.
Terdahulu, tular di media sosial video memaparkan lelaki terbabit bertindak agresif sambil mengacukan parang ke arah beberapa petugas kesihatan, sebelum ditembak oleh pengawal keselamatan.