fb fb fb fb fb

Polis Pulau Pinang tumpaskan sindiket dadah bernilai lebih RM6.5 Juta

Datuk Hamzah Ahmad menunjukkan kepada media, dadah-dadah yang dirampas pada sidang media hari ini / RTM

GEORGE TOWN, 24 Mac– Polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan sebuah sindiket pengedaran dadah melalui tiga serbuan berasingan di sekitar Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Utara, dengan nilai rampasan melebihi RM6.5 juta.

Dua lelaki tempatan berusia 20 dan 27 tahun telah ditahan dalam serbuan yang dilakukan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang. Serbuan bermula pada pukul 3 petang Sabtu lepas hingga 10 pagi semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad, memaklumkan, dadah yang dirampas dipercayai untuk diseludup ke negara jiran, Indonesia.

"Kedua-dua suspek disyaki berperanan sebagai koordinator sindiket pengedaran dadah ini, yang dipercayai menjalankan kegiatan repackaging dadah sebelum dihantar keluar negara.

"Kami telah menangkap dua lelaki warga tempatan berusia 20 dan 27 tahun yang terlibat dalam sindiket pengedaran dadah, yang diseludup ke luar negara, dipercayai ke Indonesia," kata Datuk Hamzah dalam sidang media di Pusat Media, IPK Pulau Pinang.

Jelasnya, rampasan dadah dianggarkan bernilai RM6,529,500. Walaupun ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua suspek menunjukkan keputusan negatif, mereka mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah.

Kesemua suspek direman sehingga 29 Mac depan untuk siasatan lanjut bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

Dalam kes berasingan, Datuk Hamzah turut mendedahkan polis berjaya menumpaskan satu lagi sindiket pengedaran dadah dengan nilai rampasan lebih RM160,000, yang melibatkan pasangan suami isteri berusia antara 35 hingga 40 tahun. Kedua-dua suspek ditahan di kediaman mereka di Permatang Pauh.

Antara barangan yang dirampas termasuk enam paket plastik lutsinar dan empat bungkusan plastik warna merah yang disyaki mengandungi dadah jenis syabu, serta 10 keping aluminium foil yang mengandungi 10 biji pil erimin 5 setiap satu. Jumlah dadah yang dirampas seberat 4,967.5 gram bernilai RM160,884.

Hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek negatif dadah, namun mereka turut mempunyai rekod jenayah. Selain itu, polis turut menyita empat buah motosikal, seutas jam tangan, dan wang tunai bernilai RM217,100.

Kesemua suspek dalam kedua-dua kes tersebut direman sehingga 29 Mac untuk siasatan lanjut.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE