PADAWAN, 24 Mac – Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah dengan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM106,578 dalam tiga serbuan berasingan di sekitar daerah ini pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Padawan, Penguasa Polis (SUPT) Irwan Hafiz Md Radzi berkata, serbuan itu turut membawa kepada penahanan empat lelaki tempatan berusia 24 hingga 34 tahun serta seorang wanita warga asing berusia 38 tahun.
“Antara dadah yang dirampas adalah ecstasy, syabu, ketamin, dan pil eramin 5. Selain itu, polis turut menyita empat buah kereta, wang tunai serta barang kemas dengan nilai keseluruhan sitaan mencecah RM136,050,” katanya dalam kenyataan media.
Kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Semua suspek kini direman sehingga Ahad bagi membantu siasatan.